Tumbuhan Sebagai Ubatan

Garlic

Image via Wikipedia

Blog ini diambil artikel Nordlilah Bt Mohd Salleh. Saya mepailkannya di blog saya kerena saya juga adalah satu dari pengguna perubatan tradisional. Saya Minum daun betik di campur dengan kunyit hitam. Bila saya demam dan kurang selera makan, Daun betiklah dan kunyit hitam yang  saya rebus dan minum air dari rebusan itu. Dengan izin Allah penyakit yang saya alami itu akan hilang dalam sehari sahaja minum air rebusan daun betik tersebut. Saya ingin mengkongsikan kepada yang lain pula untuk mencuba cara perubatan tradisional kampong ini. Saya juga mengunakan buah dan daun(pucuk) mengkudu sebagai minuman herba. Ia dapat menghilangkan ketidak keselesaan dalam perut kita. Dapat juga menurunkan tekenan dari tinggi.  Sebenarnya kurang pengatahuan pasal ubatan tradisional.  Maka saya mencari maklumat dari mana-mana sumber, majalah, buku dan juga di internet. Ini saya letakan di blog saya sebagai rujukan saya dan juga kepada sesiapa yang dapat membaca blog ini.

TUMBUHAN SEBAGAI UBATAN

NOR DALILAH BT MOHD SALLEH

PENDAHULUAN

Malaysia tidak mempunyai musim sejuk. Di kebanyakan kawasan di negeri di Malaysia, hujan turun sepanjang tahun. Hasilnya Malaysia ialah negeri yang sentiasa menghijau. Hutannya malar hijau, tetapi yang membentuk alam tumbuhan yang sentiasa menghijau inilah suatu bilangan besar jenis-jenis tumbuhan yang menunjukkan tabiat-tabiat dengan pelbagai cara yang berlainan. Malaysia memang kaya dengan tumbuh-tumbuhan hijau yang mempunyai pelbagai kegunaan.

Masyarakat pasti mengetahui tumbuh-tumbuhan telah digunakan untuk terapentik sejak zaman dahulu lagi. Pengalaman dan pengetahuan mengenainya telah diperturunkan dari satu generasi ke satu generasi yang lain, sama ada melalui tulisan atau penulisan sebagai contoh, Eber Papyrus ialah preskripsi yang digunakan oleh bangsa Mesir yang dipercayai ditulis lebih kurang 1500 tahun sebelum masihi.

Tumbuh-tumbuhan turut menjadi sumber utama dalam sistem perubatan tradisional. Memang tidak dapat dinafikan lagi bahawa perhubungan antara manusia dan tumbuhan memang banyak memberi manfaat kepada manusia jika digunakan dengan cara yang betul. Perhubungan antara rupa bentuk, warna atau bau sesuatu tumbuhan sering dikaitkan dengan jenis penyakit yang ingin diubati. Ia merupakan salah satu cara yang penting dalam menentukan tumbuhan yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hampir 70 peratus populasi dunia menggunakan ubat dari tumbuh-tumbuhan di negara sedang membangun dan mundur kerana ianya murah dan mudah didapati. Sebanyak 150 ribu daripada 250 ribu spesis tumbuhan berbunga berasal dari kawasan tropika. 35 ribu spesis terdapat di Asia Tenggara dan 8000 terdapat di Malaysia. Dari jumlah ini 6000 daripada spesis tumbuhan berbunga di Asia Tenggara mempunyai nilai perubatan dan 1230 daripadanya telah digunakan di dalam rawatan tradisional

TUMBUH-TUMBUHAN DAN KEGUNAANNYA DALAM PERUBATAN

MENGKUDU

Pokok mengkudu begitu dihargai di kawasan tropika sebagai bahan ubatan yang sangat berkhasiat. Pokok mengkudu mempunyai istilah saintifiknya iaitu Morinda citrifolia. Terdapat beberapa bahagian pokok mengkudu yang berkhasiat untuk ubatan. Pokok, daun, buah, kulit dan akar pohon mengkudu digunakan untuk merawat pelbagai jenis penyakit.

Tumbuhan ini berupa pohon kecil yang daunnya berbentuk bujur, berkilat. Buahnya mengerutu dan mempunyai banyak biji. Warnanya hijau kekuning-kuningan dan berbau yang kurang menyenangkan. Pokok mengkudu ini mempunyai kandungan kimia seperti metil asetil ester, asam kapril, morindadiol, soranyidiol, morindin dan morindon.

Di malaysia, daun mengkudu yang dilayur diletakkan pada dada dan abdomen untuk rawatan batuk, mual, pembesaran limpa dan kolik(memulas perut). Masyarakat Filipina menggunakan cairan daripada mengkudu dalam rawatan penyakit radang sendi. Daun mengkudu digunakan juga dalam rawatan disenteri di kalangan masyarakat tempatan Solomon dan Taiwan. Buah pokok mengkudu juga dapat mengubat pelbagai penyakit. Buahnya yang sudah masak diperah dan dicampur dengan lempoyang untuk mengubat penyakit ginjal dan hati yang membesar, membantu pencernaan dan membantu melawaskan kencing.

Rebusan kulit pokok mengkudu merupakan astrigen (bahan yang boleh mengecutkan tisu dan saluran darah) dan digunakan bagi merawat malaria. Rebusan kulit merupakan astrigen terhadap masalah usus. Campuran kulit, akar dan buah boleh digunakan unutk membersihkan luka. Masyarakat New Guinea menggunakan campuran kulit akar yang mengandungi pigmen kuning sebagai antiseptik. Di Kepulauan Solomon pula, kulit mengkudu adalah antara bahan yang digunakan semasa bersalin.

BAWANG PUTIH

Bawang putih segar atau Allium sativum yang digunakan di dalam masakan mempunyai banyak khasiat ubatan. Bawang putih berupa tumbuhan berumpun yang berulas-ulas di mana setiap ulasnya dibungkus dengan kulit yang tipis. Daun bawang putih berbentuk pita dan akarnya adalah akar serabut. Bunganya berwarna putih, jika dihiris bahagian umbinya ia akan berbau sangat tajam dan kuat. Bawang putih banyak ditanam di ladang-ladang di daerah pergunungan yang cukup memperolehi sinar matahari. Tumbuhan ini termasuk dalam famili atau suku Liliaceae.

Bawang putih juga terdapat beberapa kandungan kimia. Sativine merupakan suatu campuran kimia yang mempunyai daya mempercepatkan pertumbuhan sel dan pertumbuhan jaringan. Di samping itu, ia merangsang susunan saraf dan berbahaya bagi kanak-kanak keranan menyebabkan fatal. Ia juga mengandungi Allicin iaitu suatu campuran yang berkhasiat sebagai antibiotik. Kandungan kimia yang lain adalah sinistrin, saponin, nicotinia asid yang bersifat hipotensif. Diallydisulfida sebagai anti cacing.

Menurut rekod, bawang putih digunakan oleh orang mesir purba untuk membentuk sebahagian diet pekerja (untuk memberi kekuatan kepada mereka) yang membina piramid firaun. Semasa perang dunia terakhir, kerajaan British menggesa orang ramai menjual semua bawang putih untuk merawat luka askar-askar yang pulang dari Perancis dan pasukan tentera mereka.

Menurut laporan ; Here’s Helath (Mac 1991), bawang putih juga mengandungi khasiat anti artritis dan pengurangan gula. Bawang putih juga mengandungi bahan yang bertindak terhadap keracunan makanan. Menurut buku Traditional Malay Medicine Plants, oleh Muhamad Zakaria dan Mustafa Ali Mohd, terdapat pelbagai lagi kegunaan bawang putih dalam merawat penyakit, di antaranya ialah :

  • Bawang putih dihancurkan dan digunakan sebagai jaram bagi merawat gigitan kala jengking atau lipan.
  • Bagi merawat lelah, batuk dan ulser perut, pati jus bawang putih dihancurkan dan dicampurkan dengan sedikit madu dan gula dan ditelan.
  • Bawang putih juga boleh dikunyak untuk melindungi daripada jangkitan cacing pita.
  • Memakannya secara mentah membantu dalam mengukuhkan kelalian terhadap penyakit.

Selain daripada itu, bawang putih boleh merawat penyakit katar, radang tenggorok dan masalah sinus. Katar ialah rembesan berair dalam hidung atau kerongkong disebabkan jangkitan pada mambran lendir. Ia dibuat dengan mencampurkan bawang putih dengan madu bersama perahan lemon. Bagi masalah ketidakhadaman, sembelit dan sakit perut ringan, bawang putih boleh mengubatinya dengan menghancurkan bawang putih di dalam secawan susu suam dan meminumnya selepas makan. Rajah : lampiran 2

TONGKAT ALI

Tongkat Ali atau Eurycoma longifiola sekarang ini cukup terkenal di Malaysia. Nama tongkat Ali sebenarnya bukan merujuk kepada spesis ini sahaja tetapi juga kepada spesis-spesis lain. Bagi kebanyakan bomoh, pawang dan dukun, tongkat Ali dikenali sebagai penawar pahit. Ada banyak lagi nama tempatan bagi spesis ini, misalnya bidara pahit, bidara putih, bidara merah, lempedu pahit, payung Ali, muntah bumi dan petala bumi. Eurycoma longifiola senang tumbuh di kawasan tepi pantai mahu pun di hutan bukit. Ia boleh mencapai ketinggian setinggi 1000m dan panjang daun pokok ini boleh mencapai 1 meter.

Kesemua bahagian tongkat Ali adalah pahit. Biasanya bahagian akar yang lebih digemari oleh para penggemar ubat tradisional. Walaupun tongkat Ali pada masa kini terkenal sebagai tonik perangsang seks, pada masa dahulu tongkat Ali lebih digunakan sebagai ubat malaria dan ubat meroyan untuk ibu selepas bersalin. Tongkat Ali juga digunakan sebagai ubat pupuk untuk mengubati penyakit sakit kepala, luka-luka, ulser dan kudis sifilis. Selain itu,tongkat Ali juga digunakan sebagai ubat gusi berdarah, busung, batuk berterusan dan penawar racun.

Dalam campuran akar kayu, tongkat Ali ada banyak kegunaan, termasuklah sebagai tonik perangsang tenaga batin, ubat sakit pinggang, untuk keluarkan angin, ubat darah tinggi, kencing manis, mandul, ketumbuhan dalam rahim dan lain –lain. Di Indochina tongkat Ali dikenali sebagai pokok penawar 100 penyakit. Ini adalah kerana tongkat Ali digunakan secara meluas bagi mengubat pelbagai penyakit. Ia digunakan untuk mengubat sakit perut yang disebabkan oleh kesukaran untuk menghadam makanan dan sebagai ubat cacing.

Di Vietnam, spesis ini digunakan sebagai ubat sakit sengal-sengal di pinggang. Di Kemboja, akar pokok ini digunakan sebagai panawar racun dan penawar bisa, ubat demam kuning dan busung. Keseluruhan bahagian tumbuhan digunakan sebagai ubat demam panas. Buahnya pula digunakan sebagai ubat disenteri.

POKOK INAI

Pokok inai mempunyai nilai ubatan yang tinggi pada daunnya. Daun inai atau Henna merupakan sejenis pokok renek dengan bunga yang berwarna hijau pucat serta daun-daun yang sangat berguna. Orang-orang melayu dan cina menggunakannya untuk menyembuhkan luka dan kudis di sekeliling kuku. Untuk itu, daun-daun ini dibersihkan dan ditumbuk, kemudiannya disapukan pada tempat yang sakit.

Selain daripada itu, orang melayu juga menggunakan air daun ini untuk menyembuhkan sakit perut. Air ini berupa campuran daun inai segar yang telah dicincang atau inai kering dengan dua gelas air. Ia direbus di dalam bekas yang tidak ditutup. Airnya ditapis dan diminum.

Serbuk daun inai digunakan untuk menyembuhkan luka-luka semasa berkhatan, bisul, penyakit-penyakit kulit dan sengal-sengal tulang. Sementara itu, akar-akar palpa digunakan untuk mengubati bisul. Bagi orang-orang India,air daun itu adalah baik sebagai bahan astringen yang boleh mengecutkan tisu-tisu organik dan dengan ini dapat mengurangkan atau mengawasi pendarahan yang berlebihan. Mereka juga percaya bahawa berkumur dengan air daun inai boleh menolong menyembuhkan sakit tekak. Orang India juga menggunakan daun inai dengan menyapunya pada kulit untuk mengubati penyakit kulit, bisul dan melepuh. Mereka juga menggunakan daun-daunnya untuk menyembuhkan sakit kepala dan rasa panas di kaki.

Di samping penggunaan untuk tujuan perubatan, orang-orang Melayu juga menggunakan daunnya (yang memberikan warna jingga yang menarik) untuk mewarnakan tapak tangan, kuku dan kaki. Bila dicampurrkan dengan pewarna-pewarna asli yang lain, pewarna inai juga boleh digunakan untuk mewarnakan rambut atau bahan tekstil.

GELENGGANG

Tumbuhan gelenggang atau daun kurap yang dikenali oleh masyarakat melayu mempunyai kelebihan dalam mengubati penyakit sembelit dan kurap. Tumbuhan ini mempunyai nama saintifiknya iaitu Cassia alata. Ia merupakan sejenis pokok renek yang memanjat dan boleh tumbuh setinggi 3 meter. Dedaunnya bercantum-cantum yang biasanya mempunyai 10 pasang pucuk-pucuk muda berbentuk bujur, besar dan tidak tajam. Bunganya berwarna kuning dan meruncing tegak dihujungnya. Di samping itu, tumbuhan ini juga mempunyai banyak biji yang berbentuk segitiga.

Masyarakat di Malaysia iaitu, Melayu Cina dan India menggunakan pokok gelenggang ini sebagai ubatan dengan cara yang berbeza. Bagi masyarakat Melayu, mereka menggunakan dedaunnya sebagai ubat demah bagi mengubati penyakit kurap, sementara air rebusan akarnya diminum untuk melegakan sembelit.

Bagi masyarakat Cina pula, mereka akan menyapu daun-daun atau daun yang telah ditumbuk dan dicampur dengan air limau nipis ke tempat yang dipenuhi kurap serta lain-lain penyakit berjangkit. Bagi masyarakat India, mereka menggunakan daun-daun tumbuhan ini untuk membuat tonik yang boleh diminum begitu saja atau dicampurkan dengan susu atau gula.

BELIMBING BULUH

Belimbing buluh merupakan sejenis lagi tumbuhan yang penting dalam perubatan selain daripada penting untuk masakan. Belimbing buluh atau Averrhoa belimbi merupakan tumbuhan yang mempunyai batang yang keras dan tingginya boleh mencapai sehingga 11 meter. Daunnya mempunyai bilangan yang genap dan batangnya tidak banyak bercabang. Manakala tumbuhan ini mempunyai bunga yang berbentuk bintang yang berwarna merah muda atau ungu. Buah belinbing bulu mempunyai ruang-ruang di antaranya sebanyak 5 dan ainya tergantung pada batang atau dahan. Belimbing buluh mempunyai isi di dalamnya dan air yang banyak serta rasanya masam. Ia banyak ditanam di kawasan yang cukup mendapat sinar matahari. Tumbuhan ini tergolong dalam famili Oxalidaceae. Kandungan bahan kimia yang terkandung di dalamnya terdiri daripada kalium dan asam oksalat.

Belimbing buluh mempunyai banyak kegunaan dari segi perubatan. Ianya boleh merawat jerawat di muka sekiranya buah belimbing buluh diparut dan dicampur dengan sedikit garam. Selain daripada itu, air dari buah belinbing buluh boleh diminum untuk merawat penyakit darah tinggi. Selain daripada itu, daun, bunga, dan buah jika direbus, air rebusan itu boleh digunakan untuk melegakan penyakit batuk. Daun belimbing buluh amat sesuai untuk merawat penyakit beguk jika daunnya ditumbuk bersama bawang putih dan ditampal pada tempat sakit tersebut. Rajah : Lampiran 5

JAMBU BATU

Jambu batu atau Psidium guajava merupakan sejenis tumbuhan perdu yang banyak caband. Tingginya dapat mencapai 12 meter, manakala daunnya berbentuk bulat telur, kasar dan kusam. Ianya juga mempunyai bunga yang berwarna putih dan buahnya berisi serta banyak biji. Tumbuhan ini banyak ditanam di ladang di dalaman rumah dan di tanah-tanah yang berbatu. Tumbuhan ini boleh sampai pada ketinggian 1200 meter di atas permukaan laut. Tumbuhan ini termasuk dalam famili atau suku Myrtaceae.

Tumbuhan ini mengandungi tanin pada daun, kulit batang dan buahnya. Ia juga mengandungi banyak lemak, damar, minyak menguap dan garam-garam mineral. Jambu batu juga mengandungi avikularin dan guaijaverin yang berkhasiat sebagai antibakteria.

Jambu batu mempunyai pelbagai kegunaan, di antaranya ialah akar, kulit dan batang serta daunnya direbus dalam air yang mendidih, kemudiannya airnya itu sangat sesuai diminum bagi mengubati sakit perut dan cirit birit. Air rebusan itu juga boleh digunakan untuk membersihkan selaput lendir proses usus yang terdapat pada bayi (prolapsysani). Luka-luka boleh diubati dengan menggunakan daun jambu batu jika daun tersebut ditumbuk dan ditampal pada tempat luka tersebut. Rajah : Lampiran 6

KESIMPULAN

Tumbuh-tumbuhan memang banyak kegunaannya sama ada untuk makanan, membuat peralatan, kraftangan dan sebagai ubatan. Tumbuhan yang biasanya boleh dimakan adalah sesuai sebagai ubat kerana ia mengandungi bahan semulajadi yang boleh mengubati pelbagai jenis penyakit. Kebanyakan pihak farmasi sekarang telah banyak menggunakan tumbuhan sebagai ubat untuk mengubati penyakit. Ini kerana lebih kurang 6000 spesis tumbuhan mempunyai nilai perubatan yang tinggi berbanding dengan bahan sintesis lain. Selain daripada itu, penggunaan tumbuhan sebagai ubatan lebih mengurangkan impak kepada penggunanya.

Saya telah mencubanya dan memang mujarab. anda pun cubalah. Apa-apa pun mencegah adalah lebih baik dari mengubati. Jadi amalkanlah makanan yang sihat dan berkhasiat.

Selamat mencuba.

~ oleh myownideasblog di 9 Januari 2011.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

 
%d bloggers like this: